Apr 14, 2009

Perbankan Islam masih goyah

Sistem perbankan Islam global memerlukan sekurang-kurangnya 50 tahun lagi untuk menjadi sebuah sistem kewangan yang setanding dan stabil seperti sistem kewangan konvensional sedia ada.

Ahli ekonomi dan juga Profesor Pelawat dari Universiti New Orleans Amerika Syarikat (AS), Prof. M. Kabir Hassan berkata, sistem kewangan Islam yang wujud ketika ini masih lagi goyah malah mendakwa ia turut mencedok idea sistem konvensional.

Beliau mengakui tempoh 50 tahun itu merupakan satu tempoh yang lama tetapi ia merupakan satu jangka waktu yang diperlukan untuk membaiki dan membetulkan sistem kawal selia sistem kewangan itu.

"Kita tidak boleh meniru kawal selia sistem kewangan konvensional dengan sewenang-wenangnya untuk membantu sistem kewangan Islam. Kita sebaliknya memerlukan kawal selia tersendiri bagi perbankan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk 'Sistem Kewangan Islam Boleh Menjadi Jalan Penyelesaian Kepada Krisis Kewangan Dunia' di Universiti Putra Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut M. Kabir, sudah tiba masanya bagi sarjana atau pakar perbankan Islam membetulkan sebarang masalah yang terdapat di dalam sistem itu.

"Hasil kajian dan pemerhatian saya mendapati ada sistem kewangan Islam yang diguna pakai tidak sesuai digunakan di negara-negara tertentu," katanya.

Tambahnya, negara Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbankan Islam harus mempunyai model pelaksanaan yang baik sebelum mempromosikan penggunaannya di kalangan dunia Barat.

Beliau memberitahu, untuk jangka masa pendek sistem kewangan Islam memerlukan sistem perbankan tiga peringkat bagi mengukuhkan lagi industri itu.

Menurutnya, tiga peringkat yang dicadangkan itu ialah mengguna pakai sistem seperti bank konvensional yang mana orang ramai boleh menyimpan wang di bank dan bank terbabit pula menggunakan deposit tersebut bagi menampung keperluan mereka.

Katanya, perbankan Islam juga boleh mengguna pakai institusi seperti Mudarabah yang mana orang ramai menyimpan wang mereka dan wang yang dikumpulkan itu digunakan bagi tujuan membangunkan pelbagai perkara.

''Selain itu, pengwujudan sistem seperti modal teroka atau Musyarakah, yang membabitkan pembiayaan projek infrastruktur perlu dipertimbangkan,'' jelasnya.

Pakar ekonomi itu juga berkata, kawal selia perlu diwujudkan oleh kerajaan dan institusi kewangan kerana sistem yang digunakan bagi perbankan konvensional sedia ada tidak sesuai bagi keperluan perbankan Islam.

"Kita memerlukan sistem kita sendiri tanpa perlu bergantung kepada perbankan konvensional untuk membantu sistem kewangan Islam," katanya.

Ujarnya, langkah seumpama itu perlu dibuat kerana Barat juga sukar menerima perubahan terhadap sistem kewangan konvensional yang diguna pakai beratus-ratus tahun lamanya, meskipun terbukti sistem sedia ada menjadi punca kepada krisis kewangan global.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP