Aug 23, 2009

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar


TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin).

Api marak dengan dahsyat sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan.

Namun, Allah SWT telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia diutus oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita dari Kitab Zakaria.

Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan 'gila', dengan kata lain, tidak waras.

Maka, atas sebab itu, Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.

Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.

Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia 'terbakar' hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu.

Begitulah nasib tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Berkait isu Palestin

Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam.

Sebab utamanya, kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah.

Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam.

Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.

Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam serta soal penindasan di Masjid Al-Aqsa.

Adalah diharap program ini akan menggerakkan masyarakat supaya sedar lalu terpanggil untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.

Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat dunia.

Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya cenderung untuk dirampas secara terus lagi haram oleh rejim Zionis.

Aug 21, 2009

Jangan Malu Berkata "Tidak Tahu"

Jika kita baca lembaran silam, para ulama tidak pernah malu berterus terang juka mereka benar-benar tidak tahu. Hal ini kerana mereka tahu, mengeluarkan pendapat atau fatwa jika tidak disandarkan pada ilmu adalah buruk akibatnya. Dan sifat mereka yang hati-hati inilah yang justeru menunjukkan bahawa mereka adalah orang-orang yang berilmu. Banyak yang boleh kita contohi sifat-sifat baik mereka.

Al-Khatib Al-Baghdadi mengisahkan bahawa Imam Malik ditanya 48 masalah, hanya dua yang dijawab, dan 30 masalah lainnya dijawab dengan, "la adri" (saya tidak tahu) (al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/170).


Hal ini berlaku tidak hanya sekali. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Mahdi bahawa seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik, akan tetapi tidak satu pun dijawabnya hingga lelaki itu mengatakan bahawa "Aku telah melakukan perjalanan selama 6 bulan, diutus oleh penduduk bertanya kepada tuan, apa yang hendak aku katakan kepada mereka? 'Imam Malik menjawab, "katakan bahawa Malik tidak dapat menjawabnya!" (Nukilan dari al-Maqalat al-Kautsari, 398).

Seorang faqih besar Madinah, Imam Mazhab yang dianuti ribuan ulama hingga kini, yang mazhabnya menyebar hingga ke Andalusia, tidak berasa malu mengatakan dirinya tidak mampu menjawab. Tidak hanya beliau, para ulama Madinah juga amat berhati-hati dalam menjawab masalah halal dan haram. Kerana jika tidak mengetahui jawapan yang tepat, kemudian memaksakan diri untuk menjawab, sama dengan menisbahkan suatu perkara yang bukan syriat kepada syariat. Beliau menukilkan: “Tidak ada sesuatu yang paling berat bagiku, melebihi pertanyaan seseorang tentang halal dan haram. Kerana hal ini berkaitan hukum Allah. Kami mengetahui bahawa ulama di negeri kami (Madinah), jika salah seorang daripada mereka ditanya, seakan-akan kematian lebih baik daripadanya”. (al-Maqalat al-Kautsari, 399).

Abu Hanifah, Imam Mazhab paling tua dari empat mazhab juga pernah ditanya tentang sembilan masalah, semuanya dijwab dengan “la adri” (aku tidak mengetahu). (al-Faqih wa al-Muttafaqih, 2/171)

Tetapi kini ada anggapan jika seseorang tidak tahu, lalu ia terus terang mengatakan “saya tidak tahu”, maka pelbagai stigma negatif akan dikaitkan dengannya seperti kurang pengetahuan, bodoh, tidak cerdik dan lainnya. Padahal tidak demikian sebenarnya, beberapa orang ulama seperti al-Mawardi dan al-Munawi menjelaskan, justeru merupakan sifat orang alim, jika ia tidak tahu maka ia terus terang. Sebaliknya sifat orang bodoh, jika ia takut mengatakan kalau dirinya tidak tahu, dan hal itu bukanla suatu yang aib.

Beliau menjelaskan , hal ini malah menunjukkan ketinggian kedudukannya, keteguhan agamanya, kesucian hatinya, sempurna pengetahuannya serta kebaikan niatnya. Justeru, janganlah kita memaksa untuk bercakap tentang hal yang tidak kita ketahui.




Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP