Apr 6, 2009

Akauntabiltiti Dalam Pengurusan Ekonomi Malaysia


Ekonomi Malaysia sepatutnya berada dalam kedudukan yang terbilang di dunia. Malaysia sejak 52 tahun mencapai kemerdekaan sepatutnya sudah mampu menjana kekayaan yang berupaya menanggung seluruh rakyatnya dengan selesa. Ia sepatutnya berupaya menyediakan prasarana, kemudahan dan perkhidmatan awam berataraf dunia pada kadar tol, caj dan cukai yang munasabah dan berpatutan, kemudahan pendidikan dan kesihatan secara percuma (peringkat sekolah dan pengajian tinggi), berupaya menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat dan sebagainya. Secara teorinya, ekonomi negara kita Malaysia sepatutnya sudah mampu mencipta peluang bagi memperoleh pendapatan yang baik (pendapatan perkapita) kepada semua golongan berdasarkan sumbangan produktif mereka dalam ekonomi.

Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Negara kita Malaysia masih diselubungi dengan masalah jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin yang terlalu meluas. Hanya 10% rakyat Malaysia menikmati kekayaan dan 90% yang lain masih miskin dan jurang antara keduanya dilihat semakin meluas. Laporan Pembangunan Insan Bangsa-Bangsa Bersatu (Human Development Index) menunjukkan Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara kaya dan miskin antara yang tertinggi di Asia selepas Papua New Guinea. Sejumlah 10% rakyat terkaya di Malaysia menguasai 38.4% dari pendapataan negara, manakala 10% rakyat bawahan menguasai hanya 1.7%. Dengan gambaran yang lebih besar, 80% daripada pendapatan negara dikuasai oleh 20% rakyat terkaya dan selebih 20% lagi terbahagi di kalangan 80% rakyat jelata.

Selain daripada itu, tiga sektor utama ekonomi negara jatuh menjunam di mana sektor pembinaan mengalami kejatuhan senayak -1.6%, perlombongan -5.7% dan pengeluaran -8.8%. Hasil ekosport negara terutamanya komoditi dan barangan elektronik jatuh mendadak (-13.4%) untuk suku akhir 2008 berbanding pertumbuhan 16% dalam sembilan bulan pertama. Perkembangan ini dijangka berterusan untuk tahun 2010. Ekonomi Malaysia perlu diransang kembali untuk menggalakkan permintaan domestik. Bagi barangan elektrik dan elektronik misalnya, syarikat antarabangsa berpengaruh iaitu Western Digital (WD) telah mengumumkan penutupan kilang `hard disk drive` di Sarawak yang mempunyai pekerja sekitar 1500 orang. Intel pula dijangka menutup kilang `chip’nya di Pulau Pinang dan Panasonic dijangka menutup dua buah kilang di Malaysia.

Kesan kejatuhan ekonomi juga menyebabkan pasaran buruh Malaysia menjunam. Secara keseluruhan dianggarkan 500 hingga 600 ribu pekerja akan terjejas sama ada dibuang kerja atau bekerja kurang masa. Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan 400 ribu pekerja akan diberhentikan kerja pada tahun 2009 sahaja. Pembuangan kerja dan pengangguran yang berlaku ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada penggunaan perseorangan ((c)/private consumption) ditambah pula dengan kejatuhan harga komoditi utama negara iaitu minyak sawit (RM1900/setan untuk Februari 2009 berbanding RM4200/setan untuk April 2008). Sehubungan dengan itu, para pengguna terutamanya penduduk bandar yang berpendapatan rendah mulai merasa kesannya. `Indeks Sentimen Pengguna yang dikeluarkan oleh MIER pada suku akhir 2008, merosot 17.5 mata dari suku ketiga 2008. Lebih teruk lagi, kelembapan pengguna bandar berlaku ketika mana pengguna luar bandar juga turut merasai akan situasi ini. Ini kerana 120,000 keluarga peneroka terjejas teruk dengan kejatuhan harga kelapa sawit. Akibatnya jualan barangan keluaran tempatan jatuh 20.8% untuk 2008 berbanding 2007.

Keseimpulannya, untuk menyelamatkan keadaan, Rakyat Malaysia perlu memberikan sokongan kepada program pemulihan ekonomi yang dilakukan bagi memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada semua kaum dapat dilaksanakan. Mekanisme-mekanisme baru untuk meyalurkan dan mengagihkan bantuan ekonomi kepada rakyat perlu dilihat dari segenap aspek dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terdiri daripada golongan cerdik pandai, atasan dan bawahan dan sebagainya supaya mekanisme yang dibentuk dilihat lebih berakauntabiliti, sifar rasuah serta diyakini. Akhirnya harapan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan pada masa akan datang dalam pelbagai sektor dan lapisan masyarakat akan tercapai.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP