Jun 18, 2009

Lulusan sekolah agama patut terajui sistem kewangan Islam

PADA dasarnya, kerajaan menyediakan infrastruktur pendidikan yang baik dari aspek kurikulum dan kokurikulum. Bantuan serta sokongan kepada bangsa Melayu yang semua beragama Islam dilaksanakan secara komprehensif, lengkap dan setara.

Bagi kebanyakan Melayu yang tinggal di pinggir dan luar bandar, kerajaan menyediakan capaian seluas-luasnya dengan menaik taraf kemudahan infrastruktur dan teknologi pembelajaran di sekolah itu hingga hampir setara dengan kemudahan di bandar.

Sekolah agama juga tidak terkecuali. Antara Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah memartabatkan sistem pendidikan agama. Kerajaan menawar tempat kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi menerima bantuan seperti sekolah kerajaan lain.

Pemantapan institusi agama bukan sekadar dari segi kemewahan dan kehebatan prasarana, tetapi juga perlu ditekankan aspek kurikulumnya. Hari ini kurikulum agama di sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi lebih fokus kepada fekah. Sedangkan aspek muamalah tidak diberikan penekanan sewajarnya. Jika ada sentuhan berhubung pentadbiran kewangan pun, ia lebih berpusat kepada teori dan tidak menepati kehendak pasaran. Akibatnya pelajar agama bagaikan terpisah daripada realiti dan tidak melihat kepada tuntutan semasa.

Berapa ramai menyedari hakikat perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam semasa yang hari ini berkembang pesat. Perkiraan kasar jumlah aset dan dana berlegar dalam sistem kewangan Islam hari ini AS$1.3 trilion. Jumlah tenaga pakar diperlukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang ialah 20,000 setahun terutama dalam bidang syariah.

Sistem kewangan Islam berasaskan sepenuhnya syariah mengaplikasikan prinsip penting yang dulu tersimpan sebagai khazanah yang tidak begitu dititikberatkan. Ulama dulu membincangkan panjang lebar prinsip muamalah itu. Siapa sangka hari ini istilah syarak seperti riba, mudarabah, murabahah, musyarakah, wakalah, hiwalah dan waad digunakan meluas dalam sistem kewangan antarabangsa.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat menubuhkan jawatankuasa senat untuk mengkaji sistem kewangan Islam sebagai alternatif bagi menangani krisis kewangan global yang semakin parah. Sebab itu aspek muamalah perlu diberi penekanan supaya pelajar agama memahami Islam dari perspektif lebih luas. Surah Al-Baqarah memberi penekanan aspek muamalah mengisyaratkan pentingnya budaya keusahawanan diterapkan dalam kurikulum pendidikan.

Saya mengimpikan suatu hari nanti, pelajar agama bukan lagi hanya menjadi qadi, imam, tok bilal, ustaz atau mengharapkan makan gaji daripada kerajaan tetapi berkemampuan menjadi pegawai bank, usahawan dan pakar kewangan. Pada peringkat pengajian tinggi, peranan universiti menyediakan asas ilmu dan keterampilan boleh dikembangkan secara kreatif dan inovasi supaya graduan muda boleh memulakan bidang keusahawanan sebaik tamat pengajian.

Mentaliti graduan yang terlalu bergantung kepada makan gaji perlu dikikis dengan membuka ruang minda kepada realiti dunia perniagaan. Galakan itu perlu diterapkan melalui pendedahan praktikal dalam sektor industri khususnya pendedahan dan penyertaan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini penting untuk membentuk minat sebelum terjun ke bidang keusahawanan sebenar.

Dalam hubungan itu, institusi keusahawanan seperti Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun yang ditubuhkan khusus untuk melahirkan usahawan cemerlang perlu digerakkan dengan lebih berkesan. Kerajaan perlu memperkemaskan strategi dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan bantuan kewangan, bimbingan kepakaran, latihan, kemudahan premis dan pemantauan ke arah menarik penyertaan generasi muda Islam dalam dunia perniagaan.

Amanah Raya sebagai syarikat milik penuh kerajaan ikut membantu membangunkan masyarakat seimbang khususnya dalam melahirkan generasi muda Islam berpendidikan, berkemahiran dan kecenderungan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Meluluskan peruntukan kewangan lebih RM8 juta untuk membiayai pengajian 45 pelajar terbaik pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengikuti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar dalam bidang syariah dengan memberi penekanan kepada bidang pentadbiran kewangan dan Perbankan Islam.

Tujuannya melahirkan modal insan bakal menjadi usahawan yang boleh mengaplikasikan bidang pengajian Islam dalam mewujudkan ekonomi Islam di Malaysia dan merealisasikan hasrat negara menjadikan Malaysia hab kewangan Islam di rantau Asean serta dunia khususnya. Mewujudkan peluang perniagaan kepada belia dengan menjadi ejen berdaftar Amanah Raya untuk menawarkan perkhidmatan wasiat kepada orang ramai.

Oleh itu, perlu menilai semula kurikulum di sekolah dan pusat pengajian tinggi, supaya ia dapat memberi keutamaan kepada penjanaan budaya keusahawanan menepati ciri-ciri, nilai dan prinsip yang digariskan Islam.

Pada masa sama, mengubah paradigma pemikiran pelajar agama supaya minda mereka lebih terbuka selaras tuntutan semasa. Pelajar bidang syariah harus disedarkan pentingnya peranan mereka dalam perkembangan bidang perbankan dan kewangan Islam hari ini

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP