Nov 21, 2009

Nik Aziz antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menerajui Kelantan sejak 1990 sebagai Menteri Besar Kelantan disenaraikan sebagai antara pemimpin Islam berpengaruh di dunia.

Daripada senarai 50 personaliti yang dinamakan, Nik Aziz menduduki tempat yang ke-42.

Nama 50 personaliti ini disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”. Edisi pertama dikeluarkan baru-baru ini oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre.

“Kita cuba untuk mengetengahkan mereka yang berpengaruh sebagai Muslim, pengaruh mereka digerakkan hasil amalan ajaran Islam ataupun pada hakikatnya mereka adalah seorang Muslim,” kata bahagian pengenalan buku itu.

Mengetuai senarai itu ialah Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz dan disusuli pemimpin agung Iran Ali Khamenei dan Raja Maghribi Raja Mohamed VI.

Umumnya, nama tokoh dan personaliti dalam buku itu disenaraikan dalam 15 kategori iaitu ulama, politik, pentadbiran, pengkhutbah, wanita, kedermawanan, pembangunan sains dan teknologi, kebudayaan, media dan radikal serta rangkaian Islam antarabangsa.

Kategori itu menyenaraikan kira-kira 450 nama keseluruhannya.

Di bawah kategori-kategori secara umum itu, nama-nama dari Malaysia yang turut disebutkan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zainah Anwar dan Sharifah Zuriah dari pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam, ahli akademik Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader dan Kumpulan Raihan.



Sep 28, 2009

Rasuah: Kedudukan Malaysia Merudum lagi, lebih buruk dari Botswana dan Bhutan


Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke 47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.
Iklan

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 billion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 15000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.




Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep "check and balance" (semak dan imbang)

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Sep 25, 2009

Naikkan gaji demi majukan ekonomi

Ekonomi negara akan mampu berkembang dengan lebih pesat lagi jika ganjaran atau gaji pekerja di Malaysia dapat ditingkatkan agar golongan ini dapat menyumbang dengan menambah produktiviti masing-masing, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita lihat pendapatan semua peringkat daripada pekerja sehinggalah yang lain amatlah rendah walaupun pengurus-pengurus GLC (syarikat berkaitan kerajaan) mendapat gaji yang besar tapi yang lain semua dapat gaji yang kecil," katanya semasa melawat limbungan kapal NGV Tech Sdn Bhd di Sijangkang dekat Banting hari ini.

Tanpa gaji yang lebih tinggi, negara tidak akan dapat mencapai pertumbuhan yang pesat, kata Dr Mahathir dan menambah bahawa peningkatan gaji perlu seimbang dengan kerja yang dilakukan.

Beliau berkata apabila produktiviti pekerja meningkat, syarikat akan mendapat keuntungan yang lebih dan majikan tentunya akan membalasnya dengan memberi pendapatan yang lebih kepada pekerja.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir juga menuntut para pekerja supaya mempunyai kesetiaan kepada syarikat masing-masing seperti pekerja di Jepun yang secara tidak langsung kesetiaan mereka menyumbang kepada kemajuan negara itu.

Dr Mahathir berkata banyak pengimpal dari Malaysia kini "dipancing" oleh syarikat dari Timur Tengah yang menawarkan gaji tiga hingga empat kali ganda daripada gaji mereka sekarang yang tidak mampu ditawarkan oleh majikan di negara ini.

Beliau berkata Malaysia tidak lagi boleh bersaing di peringkat antarabangsa dengan kos buruh yang murah kerana ada di antara negara-negara tertentu yang mempunyai kos buruh yang rendah tetapi memiliki produktiviti yang lebih tinggi di mana seorang pekerja boleh melakukan kerja yang dilakukan oleh dua tiga orang pekerja-malaysiakini

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP