Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Aug 23, 2009

Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar


TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin).

Api marak dengan dahsyat sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan.

Namun, Allah SWT telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia diutus oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita dari Kitab Zakaria.

Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan 'gila', dengan kata lain, tidak waras.

Maka, atas sebab itu, Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.

Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.

Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia 'terbakar' hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu.

Begitulah nasib tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Berkait isu Palestin

Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam.

Sebab utamanya, kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis Rasulullah.

Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam.

Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.

Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam serta soal penindasan di Masjid Al-Aqsa.

Adalah diharap program ini akan menggerakkan masyarakat supaya sedar lalu terpanggil untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.

Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat dunia.

Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya cenderung untuk dirampas secara terus lagi haram oleh rejim Zionis.

Jul 24, 2009

Perkasa bahasa, perkasa ilmu

TANGGAL 8 Julai 2009 menjadi tarikh bersejarah dalam senario sistem pendidikan di negara kita apabila Menteri Pelajaran , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman ini menjadi klimaks kepada polemik isu PPSMI ini yang berlarutan sejak pelaksanaannya. Pihak kerajaan membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kajian ilmiah, pandangan ilmuwan serta umum dan realiti pelaksanaan dasar.

Sebagai remaja, situasi yang berlaku ini seharusnya menyedarkan kita tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu perlu kita martabatkan, tetapi bahasa lain juga perlu dikuasai demi meluaskan skop pergaulan dan membina jambatan untuk meneroka gudang ilmu daripada bahasa lain.

Memartabatkan Bahasaku

Mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan? Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang dipersetujui semua pihak dalam asas pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, yang diharapkan berhasil menyatukan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya.

Terdapat lebih daripada 2,000 istilah dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, seperti rahmat, insan, solat dan sebagainya. Bermakna apabila seseorang itu menguasai bahasa Melayu, secara tidak langsung ia dapat memahami asas maksud 2,000 perkataan Bahasa Arab yang terkait dengan ajaran Islam.

Hubungan bahasa Melayu dengan ajaran Islam terkait menerusi istilah-istilah berkenaan dan ia merupakan satu warisan yang amat berharga untuk kita. Memahami istilah-istilah tersebut seharusnya memudahkan kita memahami asas ajaran Islam dan menghayatinya.

Sebagai contoh, perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada adab, budi, pekerti dan perangai. Dalam bahasa Inggeris, secara umumnya akhlak ditafsirkan sebagai morality. Tetapi sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya.

Perkataan akhlak mempunyai konotasi berbeza yakni berlandaskan perspektif Islam. Hal ini berbeza dengan maksud morality yang bersandarkan kepada nilai-nilai atau pegangan masyarakat setempat.

Tetapi kewujudan perkataan akhlak dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sudah sedia difahami justeru kayu ukur yang kita gunakan dalam mencirikan akhlak seseorang secara tanpa kita sedari adalah berpandukan nilai keislaman itu sendiri.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris sememangnya diguna pakai secara meluas dalam semua bidang, tidak hanya dalam sains dan teknologi. Terdapat rujukan keilmuan dalam bahasa Inggeris bagi pelbagai bidang yang lain juga umpamanya undang-undang, ekonomi dan sains kemanusiaan.

Justeru fokus pengajaran bahasa Inggeris tidak sepatutnya terhad demi bidang sains dan teknologi semata-mata. Pokoknya, asas kemahiran berbahas Inggeris itu perlu diberi perhatian terlebih dahulu demi mendidik pelajar mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat banyak istilah dalam bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam perisian komputer dan di Internet. Justeru tidak dinafikan bahawa pemahaman istilah-istilah yang digunakan adalah perlu demi memudahkan generasi muda menguasai bidang teknologi maklumat.

Tetapi golongan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mempunyai upaya mempelajari istilah baru dengan cepat terutamanya apabila mereka didedahkan secara langsung kepada sumber pengajaran berkaitan dan diberi peluang untuk menerokainya.

Sebagai contoh, dengan mewujudkan akses untuk pelajar menggunakan komputer dan Internet, para pelajar akan tertarik untuk menggunakannya dan meneroka perisian yang ada. Melalui penggunaan berterusan, secara automatik pelajar akan terbiasa dengan istilah-istilah yang digunakan serta maksudnya.

Apa yang penting ialah kemudahan untuk mengakses komputer dan internet itu perlu ditambahkan demi membolehkan lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat.

Harapan Semua

Kita percaya bahawa polemik PPSMI ini didasari oleh keinginan semua pihak untuk melihat remaja negara kita hari ini hebat penguasaan bahasa Melayunya, bahasa Inggerisnya, bahasa ibundanya atau mungkin juga bahasa-bahasa lain.

Tentunya melalui penguasaan pelbagai bahasa, diharapkan para remaja dapat sama-sama memacu kemajuan untuk diri, bangsa, agama dan negara, dan pada masa yang sama memperkasa jati diri dan sahsiah yang dimiliki.

Keputusan kerajaan untuk menyemak kembali dasar PPSMI serta pelaksanaannya berdasarkan penilaian terperinci merupakan satu langkah yang patut dipuji. Impak pelaksanaan dasar ini seharusnya dapat ditelaah dan diambil pengajaran demi membentuk sistem pendidikan negara yang lebih mapan dan bersepadu.

Ibarat Membina Menara

Mungkin hari ini kita bermula semula dari bawah untuk menanam pasak bahasa dengan acuan baru. Tetapi pasak ini bukan sebarang utuh, bukan sebarang tegak, tetapi utuh dan tegak demi menjadi menara setinggi Gunung Fiji.

Mengapa sebanding Gunung Fuji, kerana pada sekitarnya didiami oleh satu bangsa berteladan, yang perkasa reka terbangnya, tetapi tetap unggul bersama bahasa miliknya.

Panahan suria globalisasi bukan untuk mencairkan, tetapi menuntut teduhan, olahan, tapisan agar manfaat cahayanya tetap mampu menerangi. Ribut teknologi bukan untuk membadai, tetapi menjadi kayu ukur sejauh mana kekuatan pasak yang terbina.

Itulah aspirasi kita terhadap bahasa. Manfaat ilmu menerusi bahasa lain ingin kita gapai, dan seterusnya kita semai serta suburi pada bahasa sendiri.

Semoga buah keilmuan yang terhasil dapat dinikmati dan dapat juga disebarkan pada semaian bahasa lain demi manfaat bersama dan martabat bahasa.

Jul 18, 2009

YAB Ustaz Azizan Razak Buat Kejutan Lagi

By Prof Hamirdin


Kedah Mentri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak talks to reporters after today’s announcement, as Merapoh executive chairman Mohd Nazri Ramli (R) looks on. – Picture by Jack Ooi









Satu loji penapis minyak terbesar di Malaysia akan dibina di Merapoh, Yan, Kedah pada harga USD 10 bilion (RM 35.7 bilion).

Ini akan menyemarakkan ekonomi Kedah, insyaallah! Maklumat lanjut di sini.

Jun 10, 2009

APABILA GERGASI TUMBANG

Sekitar tahun 1960-an, kereta yang menjalar dan memenuhi setiap lorong dan lebuh raya di Amerika Syarikat (AS) adalah keluaran General Motors.. Malah syarikat pembuat kereta ini menjadi kebanggaan hampir setiap rakyat AS kerana menguasai pasaran dalam dan juga luar negara. Ketika itu dan sehingga tahun lalu, General Motors adalah gergasi dan tidak ada syarikat lain berani berdepan dengannya.

General Motors menjadi lambang kehebatan AS dalam industri automotif. Pada masa yang sama syarikat yang ditubuhkan pada 1908 itu juga penyukat aras kesombongan dan kebongkakan AS. Siapa pun tidak menjangka General Motors akan kecundang kerana ia mempunyai tapak yang sangat kukuh. Tetapi selepas satu abad, akhirnya gergasi yang digeruni tumbang apabila berdepan dengan krisis ekonomi di AS tahun lalu yang dianggap paling hebat sejak 1930.

General Motors telah membuktikan kehebatan. Malah syarikat ini juga sekali lagi membuktikan bahawa menjadi terhebat dan mengekalkan kehebatan adalah dua cabaran yang sangat berbeza. General Motors telah membuktikan rekod kehebatan dengan menguasai pasaran kereta hampir di seluruh dunia. Tetapi rekod kehebatan tidak memberi penentu untuk terus hebat, apa lagi mendepani gelombang yang hampir meranapkan ekonomi AS.

Perkembangan General Motors terlalu pesat terutama pada tahun 1960-an hingga dua tahun terakhir ini. Pertambahan jumlah kilang dan pekerja berlaku sangat pantas. Tanpa menjangka krisis ekonomi yang paling besar ini, sebahagian besar peneraju General Motors tidak bersiap untuk merentasi zaman meleset.

Kegemilangan silam seharusnya menjadi pertunjuk untuk masa depan. Era awal 1960-an misalnya, kereta model 1966, Chevy Impala Super Sport atau model 1964 Pontiac GTC menjadi "raja jalan raya" di AS dan beberapa negara lain yang menjadi pengimport kereta keluaran General Motors. Kereta- kereta keluaran General Motors ketika zaman emas itu jauh meninggalkan kereta keluaran Jepun atau British. Pada zaman emas, General Motors tidak ada saingan.

Keruntuhan General Motors adalah kesinambungan keruntuhan beberapa syarikat gergasi yang menjadi nadi ekonomi AS. Malah keruntuhan General Motors juga merupakan kekalahan AS menguasai pasaran automotif dunia dan ini membuka peluang luas kepada Jepun untuk mengambil tempat. General Motors menjadi pengeluar kereta terbesar dunia sejak 1931 hingga tahun 2008. Kini pengeluar kereta terbesar dunia dikuasai oleh Toyota dari Jepun selepas General Motors merudum.

Pakar Strategi SMBC Friend Securities di Tokyo, Fumiyuki Nakanishi berkata, krisis yang melanda General Motors hingga menumbangkan syarikat gergasi itu memberi peluang yang sangat baik kepada syarikat-syarikat pembuat kereka Jepun untuk meluaskan perkongsian pasaran (market share) di seluruh dunia termasuk AS. Beliau melihat masalah yang melanda General Motor di sudut positif kerana ini membuka laluan pasaran kepada pembuat- pembuat kereta lain khususnya di luar AS.

Baru-baru ini General Motors telah diisytiharkan muflis dengan menanggung beban hutang RM604.8 bilion iaitu lebih sekali ganda daripada aset yang dimiliki. Setakat ini aset General Motors hanya bernilai RM287.7 bilion. Bagaimanapun kerajaan dibawah pentadbiran Presiden Barack Obama menyelamatkan General Motors dengan permohonan mendapat perlindungan muflis. Kemudian dengan pelan menyelamatkan syarikat itu antara lain kerajaan menyuntik hingga 72.5 peratus ekuiti dan syarikat tersebut menjadi milik kerajaan.

Ada kalangan penganalisis menganggap tindakan muflis ke atas General Motors adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh pentadbiran Obama untuk mengecilkan operasi syarikat gergasi itu dan meletakkan di bawah kerajaan. Ini merupakan langkah pengstrukturan semula menerusi mahkamah muflis.

Syarikat ini sebenarnya telah mengalami kerugian sekitar RM308 bilion sejak 2004 apabila jualan kereta General Motors di bawah 10 juta buah setahun.

Obama dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin dengan pelan pengstrukturan dan pemulihan syarikat itu.

"Ini akan berjaya sekiranya pengurusan baru yang menerajui General Motors menguruskan dengan cekap," demikian tegas Obama. Beliau juga menyifatkan industri automotif yang akan diledakkan oleh General Motors selepas ini akan menjadi salah satu yang menyuntik pertumbuhan ekonomi AS pada masa depan.

Keruntuhan General Motors seperti semua orang tahu bahawa ini adalah salah satu gelombang krisis ekonomi yang melanda AS tahun lalu. Ini juga beban yang terpaksa ditanggung oleh Obama apabila mengambil alih AS dalam keadaan yang sangat genting.


Apabila menjadi sebuah syarikat gergasi yang muflis, walaupun tindakan menyelamatkan dari muflis berjaya dilakukan, catatan kegemilangan General Motors yang lalu hanya menjadi sejarah. Ia juga menjadi sejarah penting kejatuhan AS yang membawa kepada keruntuhan sebuah empayar automobil terbesar dunia. General Motors merupakan syarikat gergasi keempat yang menerima tindakan muflis selepas Lehman Brothers Holding dan Washington Mutual tahun lalu serta WorldCom Inc tahun 2002.

Secara perbandingan, pada tahun 1962 General Motors menguasai perkongsian pasaran sebanyak 51 peratus jualan kereta di AS. Tetapi tahun ini hanya tinggal 23 peratus sahaja. Kejatuhan ini dengan jelas memperlihatkan kereta buatan luar AS telah menguasai pasaran di AS dan juga di negara-negara lain yang menjadi kubu kuat General Motors sebelum ini.

Syarikat ini telah melebarkan sayap membuka kilang membuat kereta di 34 negara dan mengeksport ke 140 negara. Antara negara yang paling banyak menggunakan kereta General Motors selain AS ialah China, Brazil, United Kingdom, Kanada, Rusia dan Jerman.

Pada 1962, General Motors mempunyai jumlah pekerja yang dianggap paling besar bagi syarikat di AS iaitu 464,000 orang. Sumbangan syarikat ini mengecilkan angka pengangguran sangat ketara. Tetapi disebabkan kemasukan teknologi dan tugas manusia menjadi semakin kecil, pekerja General Motors hanya tinggal 92,000 orang saja pada tahun ini. Tahun 1962, kereta keluaran syarikat ini mencatatkan jualan 4.2 juta di AS saja tetapi tahun ini hanya tinggal 2.98 juta.

Walaupun Obama terpaksa mengambil jalan pintas yang pantas mengstrukturkan semula General Motors dengan mengecilkan operasinya, langkah ini bukanlah memuaskan hati banyak pihak terutama pihak kesatuan sekerja. Ini kerana pengurangan pekerja dengan sendirinya meningkatkan kadar pengangguran dan dalam belanja sara hidup yang begitu tinggi, kadar pencen yang ditawarkan oleh General Motors pada relatifnya sangat kecil.

Selain berdepan dengan pemegang-pemegang saham yang cerewet, Obama mendepani tentangan besar daripada pihak kesatuan. Menyelamatkan General Motors dengan menyuntik dari dana kerajaan seolah-olah menyambung hayat kelompok tertentu yang berada dalam kelas atasan General Motors. Tetapi suntikan kewangan yang besar itu tidak menjamin syarikat yang dulunya dianggap gergasi kembali digeruni terutama oleh pesaing terdekat Toyota dari Jepun.

Bagaimanapun Pengerusi General Motors, Kent Kresa menyakinkan bahawa, "Kami bukan telah dijual. Ini adalah pelan terbesar untuk masa depan dan sekarang kami cuma melengkapkannya." Tetapi Bloomberg yang memetik kenyataan bekas pekerja General Motors, Ted Dobski begitu sinikal. Katanya, "Rakyat AS memang mahu General Motors muflis," kata Dobski.



May 3, 2009

Jiwa ‘kehambaan’ Melayu Menghalang Pembaharuan



Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan Melayu’ maka pelbagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu sebab kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan Melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang Melayu. Ada yang kata orang Melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Namun bagi saya, kemuliaan orang Melayu yang sebenar dan kekal kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa Melayu sudah banyak yang dilupakan, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam Melayu atau hanya untuk orang Melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.

Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janji-Nya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan Melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.

Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi dari sudut ajaran Islam. Namun, masyarakat Melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang Melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat. Ia sudah pasti tidak serasi dengan roh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘legenda’ kesultanan Melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja Melayu yang amat menyanggah keadilan, tidak masuk akal, sekali gus bercanggah dengan Islam. Orang Melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat Melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘menghadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat Melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya menasihati sesetengah raja Melayu. Terdapat juga sultan Melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik Melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran Melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik Melayu sama ada pro-Islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan hal lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “Tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat Melayu menghadap raja?”. Dia menjawab: “Oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak ditegaskan kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan Melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat. Seperti mana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal ini demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod Melayu moden, orang Melayu banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “Raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantah atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman berbeza dengan rakyat. Rasulullah SAW menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang Muslim, saya juga seorang Melayu. Saya tidak nafikan orang Melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka. Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang Melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan Melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan pelbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini? Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

Artikel ini dipetik daripada DR. Mohd Asri Zainul Abidin ialah Bekas Mufti Perlis dan kini pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.



Mar 28, 2009

Kajian: 4% kuasai BI melalui PPSMI

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelari dua subjek tersebut.


"Sumbangan PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina). Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Ia merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003 dikembalikan.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Pejabat Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Rauf Yusoh yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Rauf berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanak sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP