Jun 29, 2009

450,000 Petugas Awam Berhutang: Hanya guna 40% daripada gaji bulanan mereka

Seramai 450,000 daripada 1.2 juta petugas awam menghadapi masalah hutang dan golongan ini perlu diberi perhatian khas kerana mereka mudah terjerumus gejala rasuah. Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berharap ketua-ketua jabatan atau kementerian mereka mengambil sikap berperikemanusiaan dalam mengendalikan masalah mengenai kumpulan ini, yang membawa pulang hanya 40 peratus daripada gaji mereka."Kebanyakan gaji mereka dipotong untuk pelbagai pinjaman seperti perumahan dan kenderaan".

Ramai di kalangan penjawat awam diberi kelonggaran oleh pihak kerajaan untuk membuat kerja sambilan seperti membawa teksi, menjadi ejen jualan langsung dan berniaga bagi menampung pendapatan tetapi ini tidak mencukupi. Kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan ini menyebabkan ramai yang terpaksa berhutang. Adalah salah untuk mengatakan bahawa mereka ini tidak tahu menguruskan kewangan, tetapi yang sebenarnya berlaku adalah gaji petugas awam tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup. Misalnya 30 tahun lalu, kos untuk satu sarapan hanya RM1.20 tetapi kini ianya melambung lima kali ganda sedangkan pendapatan penjawat awam tidak meningkat dengan kenaikan kos itu.

Beberapa cadangan dilihat sesuai bagi merungkaikan permasalahan ini tanpa perlu kerajaan menaikkan gaji penjawat awam yang secara tidak langsung turut member kebajikan kepada pekerja swasta; Antaranya;

  1. Menjadikan pengangkutan awam lebih murah.
  2. Menyediakan lebih banyak biasiswa kepada anak-anak mereka khususnya di peringkat pengajian tinggi seperti yang termaktub dalam perlembagaan bukannya pinjaman.
  3. Memberikan potongan bagi kemudahan tertentu spt perubatan dan kemudahan lain.
  4. Megurangkan nilai harga kenderaan di pasaran di mana kerajaan tidak mengenakancukai yang melampau yang secara tidak langsung akan membebankan pengguna.
  5. Misalnya harga kereta import yang berharga RM100,000 dikenakan cukai import yang digantikan cukai eksais sebanyak 300% akan mneyebabkan harga kenderaan tersebut melambung tinggi dan pengguna terpaksa menanggung hutang yang banyak. Begitu jugalah dengan kenderaan tempatan.
  6. Bank-bank perlu mengurangkan kadar faedah atas pinjaman/pembiayaan perumahan yang dilihat terlalu tinggi. Penyelesaian dari aspek pemanjangan tempoh pembayaran misalnya daripada 25 tahun kepada 30 tahun bukanlah merupakan penyelesaian terbaik berbanding pihak kerajaan sendiri memastikan pihak bank mengurangkan kadar keuntungan yang diambil. Dalam erti kata lain boleh mengambil untung maksimum100%) tetapi tidak untung melampau (150% misalnya) dalam pinjaman/embiayaan perumahan.
  7. Mengurangkan bayaran tol, tarif air dan elektrik.




Jun 18, 2009

Lulusan sekolah agama patut terajui sistem kewangan Islam

PADA dasarnya, kerajaan menyediakan infrastruktur pendidikan yang baik dari aspek kurikulum dan kokurikulum. Bantuan serta sokongan kepada bangsa Melayu yang semua beragama Islam dilaksanakan secara komprehensif, lengkap dan setara.

Bagi kebanyakan Melayu yang tinggal di pinggir dan luar bandar, kerajaan menyediakan capaian seluas-luasnya dengan menaik taraf kemudahan infrastruktur dan teknologi pembelajaran di sekolah itu hingga hampir setara dengan kemudahan di bandar.

Sekolah agama juga tidak terkecuali. Antara Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah memartabatkan sistem pendidikan agama. Kerajaan menawar tempat kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi menerima bantuan seperti sekolah kerajaan lain.

Pemantapan institusi agama bukan sekadar dari segi kemewahan dan kehebatan prasarana, tetapi juga perlu ditekankan aspek kurikulumnya. Hari ini kurikulum agama di sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi lebih fokus kepada fekah. Sedangkan aspek muamalah tidak diberikan penekanan sewajarnya. Jika ada sentuhan berhubung pentadbiran kewangan pun, ia lebih berpusat kepada teori dan tidak menepati kehendak pasaran. Akibatnya pelajar agama bagaikan terpisah daripada realiti dan tidak melihat kepada tuntutan semasa.

Berapa ramai menyedari hakikat perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam semasa yang hari ini berkembang pesat. Perkiraan kasar jumlah aset dan dana berlegar dalam sistem kewangan Islam hari ini AS$1.3 trilion. Jumlah tenaga pakar diperlukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang ialah 20,000 setahun terutama dalam bidang syariah.

Sistem kewangan Islam berasaskan sepenuhnya syariah mengaplikasikan prinsip penting yang dulu tersimpan sebagai khazanah yang tidak begitu dititikberatkan. Ulama dulu membincangkan panjang lebar prinsip muamalah itu. Siapa sangka hari ini istilah syarak seperti riba, mudarabah, murabahah, musyarakah, wakalah, hiwalah dan waad digunakan meluas dalam sistem kewangan antarabangsa.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat menubuhkan jawatankuasa senat untuk mengkaji sistem kewangan Islam sebagai alternatif bagi menangani krisis kewangan global yang semakin parah. Sebab itu aspek muamalah perlu diberi penekanan supaya pelajar agama memahami Islam dari perspektif lebih luas. Surah Al-Baqarah memberi penekanan aspek muamalah mengisyaratkan pentingnya budaya keusahawanan diterapkan dalam kurikulum pendidikan.

Saya mengimpikan suatu hari nanti, pelajar agama bukan lagi hanya menjadi qadi, imam, tok bilal, ustaz atau mengharapkan makan gaji daripada kerajaan tetapi berkemampuan menjadi pegawai bank, usahawan dan pakar kewangan. Pada peringkat pengajian tinggi, peranan universiti menyediakan asas ilmu dan keterampilan boleh dikembangkan secara kreatif dan inovasi supaya graduan muda boleh memulakan bidang keusahawanan sebaik tamat pengajian.

Mentaliti graduan yang terlalu bergantung kepada makan gaji perlu dikikis dengan membuka ruang minda kepada realiti dunia perniagaan. Galakan itu perlu diterapkan melalui pendedahan praktikal dalam sektor industri khususnya pendedahan dan penyertaan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini penting untuk membentuk minat sebelum terjun ke bidang keusahawanan sebenar.

Dalam hubungan itu, institusi keusahawanan seperti Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun yang ditubuhkan khusus untuk melahirkan usahawan cemerlang perlu digerakkan dengan lebih berkesan. Kerajaan perlu memperkemaskan strategi dengan menyediakan lebih banyak kemudahan dan bantuan kewangan, bimbingan kepakaran, latihan, kemudahan premis dan pemantauan ke arah menarik penyertaan generasi muda Islam dalam dunia perniagaan.

Amanah Raya sebagai syarikat milik penuh kerajaan ikut membantu membangunkan masyarakat seimbang khususnya dalam melahirkan generasi muda Islam berpendidikan, berkemahiran dan kecenderungan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Meluluskan peruntukan kewangan lebih RM8 juta untuk membiayai pengajian 45 pelajar terbaik pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengikuti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar dalam bidang syariah dengan memberi penekanan kepada bidang pentadbiran kewangan dan Perbankan Islam.

Tujuannya melahirkan modal insan bakal menjadi usahawan yang boleh mengaplikasikan bidang pengajian Islam dalam mewujudkan ekonomi Islam di Malaysia dan merealisasikan hasrat negara menjadikan Malaysia hab kewangan Islam di rantau Asean serta dunia khususnya. Mewujudkan peluang perniagaan kepada belia dengan menjadi ejen berdaftar Amanah Raya untuk menawarkan perkhidmatan wasiat kepada orang ramai.

Oleh itu, perlu menilai semula kurikulum di sekolah dan pusat pengajian tinggi, supaya ia dapat memberi keutamaan kepada penjanaan budaya keusahawanan menepati ciri-ciri, nilai dan prinsip yang digariskan Islam.

Pada masa sama, mengubah paradigma pemikiran pelajar agama supaya minda mereka lebih terbuka selaras tuntutan semasa. Pelajar bidang syariah harus disedarkan pentingnya peranan mereka dalam perkembangan bidang perbankan dan kewangan Islam hari ini

Jun 17, 2009

Kuan Yew mahu tahu apa jadi jika PAS perintah Malaysia



KOTA BHARU: Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew membuat kunjungan bersejarah ke Kelantan dan bertemu dengan rakan sejawatnya dalam PAS iaitu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lee yang turut disertai oleh anggota kabinet Singapura menemui Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim.


Mereka bertukar-tukar fikiran di samping bertanya khabar antara satu sama lain. Fokus utama Lee nampaknya adalah apa akan berlaku kepada rakyat berbilang kaum di negara ini jika parti Islam itu memerintah.

Nik Aziz menjelaskan, PAS akan menjadi pembela kepada semua kaum kerana itulah slogan PAS iaitu “PAS untuk semua”.

Rasa ingin tahu Lee mungkin sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi ekoran kemenangan besar PAS bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Tambahan pula Umno sejak akhir-ahkir ini dilihat semakin hilang pengaruhnya. Muktamar PAS baru-baru ini pula semacam mengambil pendekatan untuk PAS memimpin perubahan bersama Pakatan Rakyat.

Kata Nik Aziz, rakyat pelbagai bangsa di negara ini akan mendapat layanan sama rata dari pemimpin PAS sekiranya parti itu menguasai negara pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, hubungan antara kerajaan dengan Republik Singapura juga akan berjalan baik sebagaimana biasa walaupun negara pada waktu itu ditadbir oleh pemimpin yang mentadbir secara Islam.

Jaminan yang diberikan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu diberikan apabila Lee mahu mendengarnya sendiri dari mulut pemimpin utama PAS itu sekiranya PAS menguasai pucuk pimpinan negara pada masa akan datang sempena lawatan rasminya hari ini ke negeri itu.

Nik Aziz memberitahu, contoh harmoni yang dilaksanakan terhadap masyarakat minoriti di negeri ini seperti Cina dan India serta lain-lain bangsa sudah cukup menjadi bukti.

Katanya lagi, kehadirannya ke rumah ibadat masyarakat Buddha sebelum ini termasuk menerima rombongan pemimpin pelbagai agama termasuk Kristian di negeri itu juga turut menjadi bukti dasar hubungan baik dan mesra menurut Islam telah diamalkan oleh parti Islam itu di negeri berkenaan hampir 20 tahun lalu.

Bahkan, menurutnya antara negara pertama yang dilawatinya sewaktu mendapat mandat sebagai Menteri Besar adalah Negara China yang berbanding negera lain memandangkan negara tersebut menerima Islam sejak awal berbanding Tanah Melayu.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung hampir sejam di pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim itu Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pelajarannya, Ng Eng Hen di samping beberapa orang pegawai dari Kedutaan Singapura.

Turut hadir mengiringi Nik Aziz selain Setiausaha Politik, Haji Annual Bakhri Haroun dan Setiausaha Sulit Khas, Rosdi Abdullah ialah, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco, Datuk Husam Musa, Datuk Mohd Amar dan Datuk Anuar Tan Abdullah.

Jun 16, 2009

Persoalan bahasa Inggeris tidak habis-habis

RAKYAT Malaysia tidak putus-putus dibebankan dengan persoalan berkaitan bahasa Inggeris. Kita sentiasa diingatkan mengenai kepentingan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan pelajar kita, betapa perlunya warga negara Malaysia menguasai bahasa Inggeris dengan baik, dan mengenai sukarnya mendapat pekerjaan jika penguasaan bahasa Inggeris kita lemah.

Berbulan-bulan lalu kita ribut dengan persoalan berkaitan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kita mendengar berita mengenai perbincangan meja bulat demi meja bulat. Namun, kerajaan masih belum mahu membuat keputusan di sebalik suara-suara lantang yang mengatakan lebih banyak kesan buruk yang timbul daripada dasar ini daripada kesan baik.

Satu kesan buruk ialah pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan luar bandar menjadi mangsa dasar ini. Mereka tidak dapat belajar Matematik dan Sains dengan baik melalui bahasa Inggeris oleh sebab penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah. Persekitaran keluarga dan suasana hidup juga tidak membantu, tidak seperti keluarga di bandar yang bukan saja bercakap di rumah dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mempunyai kemudahan seperti televisyen, komputer dan internet untuk membantu anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kita juga tahu bahawa dasar ini dilaksanakan dengan amat tergesa-gesa sehingga guru, yang terdidik dan terlatih dalam bahasa Melayu, tidak dapat mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan berkesan. Ini menjadikan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, yang sememangnya sukar menjadi lebih sukar. Apatah lagi di kalangan pelajar luar bandar dan daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Satu kesimpulan yang amat ketara ialah bahawa dasar PPSMI ini tidak berlaku adil terhadap sebahagian besar rakyat negara ini. Dari sudut ini sudah jelas tindakan dan keputusan yang patut diambil pihak kerajaan berkaitan dasar PPSMI.

Kini kita sekali lagi dikejutkan dengan persoalan di sekitar bahasa Inggeris. Kita diminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, untuk menimbang kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SPM ini amat penting bagi pelajar kita kerana sijil ini adalah kunci yang pertama membuka peluang lain seperti untuk melanjutkan pelajaran, menjalani kursus kemahiran atau mencari pekerjaan. Secara langsung kita mengaitkan masa depan anak kita dengan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah kita dan bahasa yang tidak bertaraf bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.

Benar bahawa ini cadangan saja, dan pihak kerajaan meminta semua pihak memberi pandangan. Kita mengalu-alukan sikap terbuka dan bertimbang rasa kerajaan dan saya berharap semua rakyat akan tampil memberi pandangan yang wajar dan menguntungkan bangsa dan negara, bukan untuk membodek semata-mata. Tetapi pengalaman membuktikan bahawa buah fikiran yang dilemparkan sebagai cadangan selalunya menjadi kenyataan. Demikian jugalah dengan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran yang amat penting dalam konteks SPM ini.

Kebimbangan saya ialah kalau-kalau lemparan buah fikiran ini semata-mata untuk mengaburi mata rakyat, yang selepas penat berbincang akan disogokkan dengan keputusan yang mengatakan bahawa lebih ramai yang menyokong cadangan ini, pada hal tidak dilakukan apa-apa kajian meyakinkan.

Tumpuan Berlebihan Terhadap Bahasa Inggeris

Dalam soal ini, saya perhatikan masyarakat kita dan kerajaan terlalu bertumpu kepada bahasa Inggeris dan hampir tidak timbul perhatian terhadap bahasa Melayu. Sekali sekala kita diingatkan supaya tidak risau kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Banyak juga yang mengatakan tidak ada lagi persoalan mengenai bahasa Melayu. Ramai pula ahli politik yang mengatakan tidak ada lagi perjuangan mengenai bahasa Melayu. Maka tidur lenalah semua orang, yang tidak sedar bahawa mimpi ngeri ialah bahawa bahasa kebangsaan kita sudah terpinggir dan akan diambil alih oleh bahasa bekas penjajah.

Mengapa perlu diberikan perhatian kepada bahasa Melayu? Sebabnya ialah kerana bahasa Melayu


l Bahasa kebangsaan negara;

l Bahasa rasmi;

l Bahasa perhubungan antara rakyat jelata biasa;

l Bahasa perpaduan, dan

l Bahasa saluran ilmu pengetahuan


Jika begitu banyaknya tugas atau fungsi bahasa Melayu, mengapa pula kita menumpukan perhatian berlebihan kepada bahasa Inggeris? Inilah yang memeningkan saya, sebagai seorang rakyat yang menguasai bahasa Inggeris, tetapi lebih mencintai bahasa kebangsaan negara sendiri.

Bagi saya bahasa Inggeris memang penting dalam dunia sekarang, dalam dunia yang global sifatnya. Kita perlu berhubung dengan dunia luar untuk tujuan diplomasi untuk berniaga dan untuk bertukar pandangan dengan warga dunia yang semakin kecil.

Demikian juga, banyak ilmu ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka penguasaan bahasa Inggeris yang baik amat menguntungkan kerana mereka dapat menimba ilmu dengan senang melalui ribuan sumber maklumat yang ada. Mereka juga boleh membantu menyebarkan ilmu ini dengan menulis kembali buah fikiran ini ke dalam bahasa lebih senang dihayati rakyat biasa, yang tidak berniat menjalani program ijazah tinggi, tetapi yang semata-mata ingin membaca maklumat dan idea-idea baru.

Tetapi mengapa mesti wujud semacam kegilaan terhadap bahasa Inggeris, disertai pula sikap acuh tak acuh terhadap bahasa kebangsaan sendiri? Kita sekarang tidak ubah seperti keadaan menyusu kera di hutan, sambil menganaktirikan bahasa sendiri. Melihat kepada keghairahan terhadap bahasa Inggeris, tergambar seolah-olah bahasa Melayu sudah hampir ke liang lahad.

Situasi Menang-Menang

Bagi saya ada dua pandangan yang bertentangan berkaitan isu ini yang kedua-duanya kurang sihat. Pada satu pihak, ada satu golongan menganggap bahasa Inggeris sebagai amat penting untuk survival pada masa ini. Sesiapa yang menyokong bahasa Melayu dianggap sebagai menentang bahasa Inggeris, oleh itu hanyalah layak dikelompokkan ke dalam 'golongan ultra.' Golongan ultra ini dianggap kolot, tidak mahu melihat orang lain maju melalui bahasa Inggeris, dan sebenar-benarnya tidak patut dilayan. Penyokong bahasa Inggeris ini datang daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, tetapi kebanyakannya orang bandar dan terdidik dalam bahasa Inggeris dalam mahupun luar negara. Penguasaan bahasa Melayu mereka juga agak rendah dan mereka tidak begitu terdedah kepada sastera dan budaya Melayu, kerana lebih menggemari sastera dan budaya Barat.

Pada pihak lain pula ialah golongan yang kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu amat dalam, dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa dalam dunia pada masa ini ada tempat bagi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain. Golongan ini tidak menganggap bahasa Inggeris penting, oleh itu tidak memberatkan persoalan bahasa Inggeris.

Pada hemat saya, kedua-dua kumpulan ini keterlaluan. Sikap mereka tidak sihat dan tidak membawa keuntungan. Keadaan seperti ini saya anggap sebagai situasi menang-kalah kerana masing-masing menegakkan benang yang basah. Satu pihak menganggap perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai ultra, sebaliknya golongan yang kedua tidak begitu mahu menerima bahasa Inggeris.

Sudah tiba masa kita mencari penyelesaian menerusi situasi menang-menang. Dalam situasi ini, kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting. Bagaimanapun dalam konteks negara dan kenegaraan, bahasa kebangsaan kita lebih penting. Pendirian menang-menang ini mengatakan bahawa dalam situasi tertentu penghormatan hendaklah diberikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu dalam situasi bersifat rasmi dalam bidang pendidikan dan dalam konteks kenegaraan. Namun, ada tempat dan ketika bagi bahasa Inggeris di dalam mahupun di luar negara. Perhubungan antarabangsa sudah semestinya dalam bahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain. Dalam konteks negara, situasi seperti persidangan antarabangsa dan diplomasi boleh menggunakan bahasa Inggeris.

Yang lebih utama ialah aspek emosi terhadap kedua-dua bahasa ini. Sepatutnya perasaan cinta akan dan berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah dikaitkan dengan bahasa Melayu. Curahan perasaan seni dan kegiatan kebudayaan seboleh mungkin dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan dan untuk berhubung dengan dunia luar
.





Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP