May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

USMAN AWANG
1979

May 3, 2009

Jiwa ‘kehambaan’ Melayu Menghalang Pembaharuan



Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan Melayu’ maka pelbagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu sebab kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan Melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang Melayu. Ada yang kata orang Melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Namun bagi saya, kemuliaan orang Melayu yang sebenar dan kekal kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa Melayu sudah banyak yang dilupakan, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam Melayu atau hanya untuk orang Melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.

Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janji-Nya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan Melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.

Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi dari sudut ajaran Islam. Namun, masyarakat Melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang Melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat. Ia sudah pasti tidak serasi dengan roh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘legenda’ kesultanan Melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja Melayu yang amat menyanggah keadilan, tidak masuk akal, sekali gus bercanggah dengan Islam. Orang Melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat Melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘menghadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat Melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya menasihati sesetengah raja Melayu. Terdapat juga sultan Melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik Melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran Melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik Melayu sama ada pro-Islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan hal lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “Tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat Melayu menghadap raja?”. Dia menjawab: “Oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak ditegaskan kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan Melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat. Seperti mana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal ini demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod Melayu moden, orang Melayu banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “Raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantah atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman berbeza dengan rakyat. Rasulullah SAW menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang Muslim, saya juga seorang Melayu. Saya tidak nafikan orang Melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka. Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang Melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan Melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan pelbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini? Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

Artikel ini dipetik daripada DR. Mohd Asri Zainul Abidin ialah Bekas Mufti Perlis dan kini pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.



May 2, 2009

Memperkasa Peranan Mahasiswa

Dalam memperbincangkan mengenai peranan mahasiswa kita tidak dapat menolak dari memperkatakan tentang beberapa kekangan dan justifikasi yang dilalui oleh mereka sepanjang bergelar mahasiswa. Pastinya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sering dijadikan sasaran tentang kebebasan yang bagi mahasiswa menjadi punca kenapa peranan mereka selama ini dilihat terbatas.

Bagaimanapun pastinya akan tiba masanya sesuatu pembaharuan itu perlu dilakukan seiring dengan suasana dan kehendak masyarakat sendiri. Apatah lagi dengan suasana politik di Malaysia kini yang lebih terbuka sejak pilihan raya tahun lepas, pembaharuan untuk menambah baik peranan mahasiswa itu sendiri kini menjadi satu keperluan. Langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang memberi lebih autonomi kepada universiti untuk merencanakan hala tuju sekali gus memastikannya sentiasa kekal relevan merupakan satu langkah ke arah memperkasakan mahasiswa itu sendiri.

Oleh itu bagi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, pembaharuan yang akan dilakukan perlu seiring dengan pindaan AUKU itu sendiri serta bersesuaian dengan pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, sudah sampai masanya untuk Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui pembaharuan atau “rebranding” kerana bagi beliau unit ini perlu menjadi satu disiplin ilmu yang khusus. Berbanding negara maju, mereka yang bertanggungjawab dalam HEP sangat profesional dan ini sangat membantu meningkatkan peranan mahasiswa itu sendiri.

Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan untuk memperkasakan mahasiswa ialah menukar nama hal ehwal pelajar kepada pembangunan mahasiswa. Ini kerana nama HEP itu sendiri lebih dilihat oleh masyarakat sebagai satu badan yang bertindak mengurus dan mengawal pelajar dan ini pastinya dilihat oleh mereka sebagai satu perkara yang tidak lagi relevan.

Menurut beliau, sehingga kini pembangunan mahasiswa masih belum menjadi satu disiplin ilmu, oleh itu dalam usaha untuk menjadikan perkara ini sebagai satu disiplin ilmu maka akan wujudlah falsafah dan konsep tersendiri tentang pembangunan mahasiswa. Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi. Oleh itu program pembangunan dan penyelidikan khusus tentang pembangunan mahasiswa perlu diperkemaskan.

Model ekonomi baru tingkatkan pendapatan dirangka


MAJIKAN PRIHATIN... Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kanan) menerima Anugerah Majikan Prihatin Syarikat Besar daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sambil diperhatikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
ANUGERAH... Pemenang anugerah Hari Pekerja (dari kiri) Ir. Dr. Sazali P. Abdul Karim, Jatan Kidu dan Hakimi Osman bersama trofi diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil pagi tadi. - foto The Star oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan satu model ekonomi baru untuk negara yang antara lain berteraskan kepada peningkatan produktiviti pekerja yang bermatlamat membantu mereka meningkatkan pendapatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memberikan skop kerja kepada majlis ekonomi yang akan ditubuhkan, yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi termasuk dari luar negara, untuk mencadangkan satu model ekonomi yang baru untuk negara.

Katanya, model ekonomi itu juga akan menggariskan bagaimana Malaysia boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara yang berada pada peringkat pendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan produktiviti pekerja bukan sahaja melalui sumbangan daripada segi waktu kerja tambahan tetapi juga melalui penambahan inovasi dan kreativiti di kalangan pekerja.

"Kalau kita menekankan ini, kita dapat menentukan tahap pengeluaran yang lebih tinggi lagi, bukan kenaikan tetapi lonjakan berganda daripada segi daya pengeluaran kita.

"Sebab itu bila kita mencapai keadaan sedemikian maka kita boleh memberi gaji yang lebih besar kepada pekerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat khas di Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta menghuraikan amanatnya di perhimpunan itu yang antara lain menyentuh mengenai model ekonomi baru, tabung pemberhentian pekerja dan usaha menambahbaik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

TINGKATKAN KEMAHIRAN

Mengenai model ekonomi baru itu, Najib berkata, setiap perusahaan di negara ini, sama ada melibatkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun syarikat-syarikat kerajaan, mereka mesti melihat bagaimana untuk terus meningkatkan kemahiran pekerja melalui inovasi dan kreativiti.

Ini boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekerja yang akhirnya memakmurkan lagi negara, katanya.

"Inilah model yang saya tekankan. Satu model ekonomi baru yang akan memberi faedah kepada pekerja dan negara kita akan memiliki daya saing yang lebih dan memacu kemajuan lebih besar.

"Kita tidak akan membenarkan negara berada di takuk sediakala. Tetapi kita mesti mencari jalan bagaimana kita boleh mengubah dan menganjakkan supaya Malaysia menjadi sebuah negara "high income" (pendapatan tinggi) dalam masa tertentu.

"Inilah hasrat kerajaan. Kita sama-sama (akan) mendukung konsep dan kaedah yang perlu dilakukan supaya cita-cita (ini) menjadi realiti," katanya.

TABUNG PEMBERHENTIAN PEKERJA

Mengenai tabung pemberhentian pekerja, Najib berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang meneruskan perbincangan dengan semua pihak.

"Dan apabila kementerian sudah bersedia, (mereka) akan membuat cadangan kepada jemaah menteri (untuk tindakan selanjutnya)," katanya.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat gesaan agar kerajaan mewujudkan segera tabung itu dengan kerajaan menyumbangkan RM500 juta. MTCU sudah membuat tuntutan lebih 10 tahun untuk penubuhan tabung itu.

Mengenai penambahbaikan kepada KWSP, Najib berkata, perkara itu sedang dalam kajian kerana kebanyakan pekerja di negara ini mengalami kesulitan kewangan sebab jumlah yang diterima adalah terhad, manakala jangka hayat rakyat Malaysia kini mencecah antara 73 dan 76 tahun.

Katanya, kajian KWSP menunjukkan bahawa 70 peratus pencarum menghabiskan caruman simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga 10 tahun.

"Jadi kita kena cari jalan bagaimana pembayaran itu boleh dibuat berdasarkan annuiti atau bulanan. Dengan itu kita dapat menjamin perlindungan kepada pekerja-pekerja kita," katanya.

HARMONI

Dalam amanatnya di hadapan lebih 10,000 pekerja, Najib berkata, semua pihak perlu mengekal dan mempertahan iklim perusahaan harmoni yang wujud di negara sekarang kerana hubungan yang baik antara majikan dan pekerja merupakan satu daripada asas penting menentukan kejayaan Malaysia.

Katanya, adalah penting hubungan majikan-pekerja diasaskan sesuai dengan prinsip pemuafakatan, saling faham memahami dan yakin meyakini, kerana jika hubungan ini diasaskan kepada sikap konfrontasi maka keadaan yang lazim berlaku di negara lain termasuk negara maju seperi mogok mungkin boleh berlaku di sini.

"Jika keadaan ini (konfrontasi) diamalkan maka ekonomi itu akan musnah dan jika musnah yang terjejas bukan sahaja pihak majikan tetapi pekerja, malahan rakyat negara itu akan menderita kerana keadaan eknomi negara itu terjejas," katanya.

HUBUNGAN TIGA SEGI

Dalam konteks yang lebih menyeluruh pula, Najib berkata, hubungan bersifat tiga segi, majikan, pekerja dan kerajaan perlu berasaskan kepada saling bantu membantu antara satu sama lain untuk membolehkan negara mencapai kejayaan lebih hebat pada masa depan.

"Majikan perlu memahami aspirasi pekerja dan pekerja pula perlu menyumbang dengan penuh dedikasi manakala kerajaan pula menjalankan tanggungjawab melalui dasardasar positif merangsang ekonomi," katanya.

Najib berkata, tindakan majikan untuk sentiasa memastikan kos produktiviti berada di tahap rendah, tidak seharusnya menjejaskan pekerja dari segi peningkatan pendapatan mereka.

"Jika ini berlaku, pekerja tidak akan mendapat penilaian pada sumbangan mereka," katanya.

Najib juga menggesa majikan di negara ini seperti restoran dan industri kecil dan sederhana menawarkan suasana dan syarat kerja yang lebih baik bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor ini.

Katanya kini ada lebih dua juta pekerja asing di negara ini.

"Harap jangan cari jalan mudah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara lain kerana upah murah. Beri peluang kepada anak-anak tempatan," katanya.

Perdana Menteri berharap tahap pengangguran akan berada di tahap minimum dan kerajaan akan terus berusaha mewujudkan peluang pekerjaan.

Katanya, kadar pengangguran mungkin akan meningkat dari 3.1 peratus pada tahun lepas kepada empat peratus tahun ini berikutan kemelesetan ekonomi global.

Powered By Blogger

Ibn Taimiyyah Gallery © 2008. Maintained by sLeMe.

TOP